Sunday, April 6, 2008

Poli-tik-us...Tun Dr Mahathir vs UMNO (ex-team B)

Draft penulisan untuk meja pengarang berita harian:
-----------------------------------------------------------

Sedih bila baca surat khabar dan berita yang menyiarkan cerita orang-orang UMNO memburuk-burukkan Tun Dr Mahathir, seorang bekas perdana menteri yang dahulunya memimpin Malaysia yang membawa negara ini ke pesada antarabangsa. Kini beliau dihina, dicaci dituduh dan dikotak-katikkan...hanya kerana beliau tidak lagi berjawatan dalam kerajaan. Sisa-sisa hidup Tun Dr Mahathir sebagai perancang pembangunan Malaysia tidak lama dulu bagaikan tiada makna apabila jasa-jasanya tidak dikenang mahupun dihargai oleh manusia-manusia yang dahulunya "menyondol-nyondol ketiak" beliau.

Segala keburukan Tun disuarakan dengan lantang...semata-mata mahu menutup kelemahan kepemimpinan sekarang. Bak kata orang putih, to create a diversion supaya pemimpin yang ada tidak diperlakukan seperti apa yang sedang dilakukan oleh mereka yang menganggap diri mereka pendukung UMNO....sedangkan mereka sebenarnya cuba mengepak pemimpin sedia ada supaya senang berteduh...tak payah susah-susah nak sondol menyondol.

Walaupun kita terpaksa terima hakikat bahawa itulah lumrah resam politik tapi apa yang berlaku hari ini pada pandangan saya sudah melampaui batas. Sudahlah jasanya tidak dikenang, dicaci hina pula. Malahan dianggap pemusnah UMNO yang telah pun menjadi darah daging Tun sendiri. Semua sedia maklum kelantangan dan kesinisan beliau dalam menyuarakan pendapat. Walaupun saya kurang bersetuju dengan tindakan beliau akhir-akhir ini yang kerap memberikan kritikan sehingga menjatuhkan kredibiliti beliau, pada masa sama saya seakan-akan faham mengapa beliau bertindak sedemikian. Sejak berhenti menjawat jawatan nombor satu negara, beliau seolah-olah dipinggirkan oleh mereka yang dahulunya seperti teman dan anak-anak. Tiada lagi sokongan daripada UMNO sendiri...buah fikirannya ditolak bulat-bulat, malah tiada yang hadir meminta nasihat mahupun pandangan beliau yang menerajui negara lebih 2 dekat. Pada pandangan saya Tun seperti sebatang pohon kelapa yang masih mampu mengeluarkan kelapa muda tetapi ditebang dan kemudiannya daun dan batangnya dibakar. Kelapa-kelapanya pula dibiarkan tanpa dikutip hasilnya. Betapa ruginya...sudahlah pohon yang paling banyak jasa dan hasil tidak dimanfaatkan, nyawanya juga "diragut".

Saya kembali teringat kembali peristiwa hitam pembubaran UMNO pada 1988. Semuanya berpunca daripada Tengku Razaleigh yang mahu bertanding jawatan presiden UMNO menentang Tun Dr Mahathir. Terbentuklah 2 puak di dalam UMNO, Team A (Pro Mahathir) dan Team B (Pro Ku Li). Akibat perpecahan dalam UMNO, parti itu diisytiharkan tidak sah/ haram. Tun Dr Mahathir kemudiannya mendaftarkan kembali UMNO dengan nama UMNO baru manakala Ku Li menubuhkan Semangat 46 (yang dibubarkan pada 1996 dan ahli-ahlinya kembali menyertai UMNO baru).

Kini Ku Li sekali lagi menawarkan diri bertanding kerusi presiden UMNO menentang Pak Lah. Dalam keadaan parti sedang kegawatan akibat kejatuhan UMNO pada pilihanraya lepas, Ku Li bagaikan menuang minyak tanah pada dedaun kering. Kesempatan yang cuba diambil inilah sebenarnya yang membawa kepada kehancuran parti UMNO itu sendiri. Beliaulah yang harus dipertanggungjawab atas kemusnahan UMNO pada 1988 dan mungkin 2008 ini. Adakah apa yang berlaku sekarang merupakan suatu pakatan bekas anggota S46? ataupun mereka cuba menolong untuk menutup perlakuan Ku Li yang suatu masa dahulu merupakan pemimpin mereka. Saya hanya membuat andaian.

Saya ambil petikan berita utama Berita Harian 5 April 2008 dengan tajuk berita : Usah musnahkan Umno.

Dr Mahathir sudah lama hancurkan parti: Ahmad Shabery

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata di sebalik kritikan lantang Dr Mahathir, beliau sebenarnya ialah individu yang menghancurkan Umno kerana memperkenalkan pelbagai peraturan tidak demokratik, termasuk menghalang Presiden dan Timbalan Presiden dicabar.

Beliau berkata, Umno 'dicekik dan dilemaskan' sedikit demi sedikit ketika zaman Dr Mahathir menjadi Presiden sehingga menyebabkan parti itu diharamkan pada 1988. "Ketika kepemimpinan Dr Mahathir, Umno mati, musnah, dibatalkan pendaftarannya dan terus mati lagi dalam bentuk yang lain... kita tidak mahu Umno yang menjadi parti keramat orang Melayu ini sekali lagi mati hanya kerana Dr Mahathir. "Umno pernah diharamkan pada zaman beliau dan kita tak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua perkara ini saya percaya orang Melayu tak lupa, tetapi mungkin Dr Mahathir sendiri lupa mengenai apa yang pernah dilakukannya ketika memimpin Umno.


Kepada yang tidak mengenali Ahmad Shabery Cheek, beliau merupakan salah seorang penyokong Ku Li yang membawa UMNO ke mahkamah sehingga parti UMNO diharamkan. Peristiwa ini tidak mungkin berlaku sekiranya presiden dan timbalan presiden sedia ada tidak dicabar. Tetapi Ahmad Shabery terlupa agaknya. Maklumlah, melayu mudah lupa. Lagipun waktu itu beliau belum lagi menyertai UMNO rasanya jadi kurang arif fakta parti. Karier politik beliau bermula sewaktu di dalam Semangat 46 dan menjawat jawatan Ketua Pemuda parti itu. Setelah Ku Li menyertai semula UMNO barulah Ahmad Shabery menjadi warga UMNO. Sebelum menyertai S46 dan UMNO beliau merupakan aktivis muda PAS. Saya meragui matlamat dan kesetiaan beliau pada UMNO tetapi siapalah saya untuk menyatakannya.
-
-
-
Perasankah kalian akan kebangkitan mereka yang dahulunya berada di Team B sama ada yang pergi ke parti Semangat 46 ataupun yang kekal dalam UMNO? Tidak pasti sama ada saya ni berperasangka buruk atau kemusykilan saya berasas. Satu demi satu bekas orang kuat team B mula membuka mulut dan bersuara : manakala perlahan-lahan orang kuat Team A mula diketepikan dan tak kurang yang semakin membisu.

------------------------------------
Actually ada panjang lagi cerita yang nak diluahkan tapi bila dah half way mengarang tiba-tiba rasa macam tak nak teruskan. I plan nak submit this piece of my mind kepada editor berita tapi pikir punya pikir...baik tak payah coz sure tak lepas tapisan since my writing was based on emotions rather than on rationale and facts. Tapi still nak share la gak kalau ada yang nak baca ahakss...tho I know ramai yang masuk blog ni tak minat politiking...

0 comments: